Peniaga alami tekanan perasaan maut jatuh tingkat 10

Peniaga alami tekanan perasaan maut jatuh tingkat 10

Polis berkata soal siasat ke atas isteri mangsa memaklumkan suaminya mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta, empat hari lalu.

Lokasi kejadian seorang lelaki ditemui maut selepas dikatakan jatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Butterworth. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas gagal dalam perniagaan, maut dikatakan terjun dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengerusi pangsapuri berkenaan pada 6.45 petang tadi berhubung insiden itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun memasuki kawasan pangsapuri berkenaan dengan menaiki motosikal melalui laluan utama.

“Kemudian mangsa dikatakan terus menaiki lif ke tingkat 10, duduk berlunjur di balkoni sebelum terjun. Akibatnya mangsa maut ekoran kecederaan parah dialaminya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, soal siasat ke atas isteri mangsa yang juga berusia 26 tahun memaklumkan suaminya mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta, empat hari lalu.

“Mangsa mulai alami kemurungan selepas perniagaan yang diceburi gagal dan mengalami kerugian. Siasatan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang elemen jenayah,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.