PAS nafi Nik Abduh, 7 Ahli Parlimen tarik sokongan pada kerajaan PN

PAS nafi Nik Abduh, 7 Ahli Parlimen tarik sokongan pada kerajaan PN

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan dakwaan lapan Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan kepada kerajaan PN ialah fitnah jahat dan tidak benar.

PUTRAJAYA:
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menafikan dakwaan anak bekas Mursyidul Am, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan tujuh Ahli Parlimen parti itu akan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat yang disifatkannya sebagai fitnah jahat dan tidak benar.

Beliau percaya penyebaran khabar angin mendakwa Ahli Parlimen Bachok itu dan tujuh Ahli Parlimen PAS menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bertujuan merosakkan hubungan erat pemimpin parti yang membentuk kerajaan PN.

Beliau berkata, dakwaan itu juga bertujuan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan PN akan jatuh dalam masa terdekat dan mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman dihadapi musuh gabungan pemerintah itu.

“Sejak semalam, gambar ini disebar pemfitnah yang maha jahat. Saya jawab mudah saja, sebab apa tidak sebut 19 Ahli Parlimen PAS keluar, tidak sokong PN, baru ‘rare’.

“Mereka juga berbuat demikian demi memenuhi modus operandi mereka, ‘target’ setiap pimpinan PAS akan difitnah dan yang penting, biar fitnah ini ditularkan dahulu, mereka yakin akan ada yang percaya, walaupun setelah dinafikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, satu catatan mengandungi gambar Nik Abduh berdiri di tepi sungai dan bendera PAS berkibaran yang berbunyi “Saya ikut jejak Umno keluar dari kerajaan PN, PAS, PPBM. Insya Allah bersama 7 Ahli Parlimen PAS, YB Nik Abduh Nik Aziz, Ahli Parlimen Bachok, 21 Jun 2021”.

Catatan mengandungi gambar Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tular di media sosial.

Bagaimanapun hasil semakan FMT di Facebook Nik Abduh tidak menemui sebarang hantaran sedemikian dan sudah menghubungi beliau untuk mendapatkan pengesahan berhubung catatan itu.

Idris berkata, fitnah itu juga bagi memastikan pimpinan sibuk menjawab dan tidak sempat menjelaskan perjalanan parti, sekali gus menyebabkan ahli bimbang.

Beliau mendakwa tindakan itu juga bertujuan “menenggelamkan” kejayaan kempen vaksinasi di negara ini.

“Ingat! Lepas ini banyak lagi fitnah akan ditularkan. Mereka boleh buat apa sahaja, sementara jari masih boleh bergerak untuk membuat fitnah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.