Mahkamah benar perintah interim bagi kontraktor KVDT2

Mahkamah benar perintah interim bagi kontraktor KVDT2

Perintah berkenaan dibenarkan Mahkamah Rayuan sementara menunggu perbicaraan untuk perintah injunksi Erinford.

Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd memfailkan saman terhadap kerajaan tahun lalu untuk mengisytiharkan penamatan kontrak KVDT2 mereka tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan kontraktor Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd mendapatkan perintah interim hingga 26 Julai terhadap penamatan kontrak Fasa 2 Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) sementara menunggu perbicaraan untuk perintah injunksi Erinford.

Hakim Kamaludin Md Said membenarkan perintah sementara itu setelah peguam kanan persekutuan Asliza Ali, yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, tidak mengemukakan bantahan terhadapnya.

Hakim lain dalam panel bersama Kamaludin adalah Lee Heng Cheong dan Che Ruzima Che Ghazali.

Peguam syarikat itu, Ashok Kumar Mahadev Ranai, sebelumnya memberitahu mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan hanya akan mendengar permohonan injunksi Erinford mereka pada 26 Julai.

“Penting agar perintah interim dibenarkan sekarang kerana jika tidak permohonan Erinford akan dianggap tidak sah (nugatory),” katanya.

Syarikat itu memfailkan saman terhadap kerajaan tahun lalu untuk mengisytiharkan penamatan kontrak itu tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

Dhaya Maju-LTAT berkata, kerajaan tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak atas alasan kepentingan umum.

Ia mendakwa Wee mempunyai “niat tersembunyi dan tidak wajar” untuk menamatkan kontrak tersebut.

Selain kerajaan dan Wee, firma perunding Opus Consultants dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) turut dinamakan dalam tuntutan mahkamah Dhaya Maju-LTAT.

Peguam KTMB Sean Yeow memberitahu mahkamah bahawa mereka membantah perintah interim itu.

Bagaimanapun Kamaludin berkata, hujah hanya akan didengar pada 26 Julai, bukan hari ini.

“Juga terdapat isu berhubung Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan yang tidak pernah diputuskan sebelum ini di Mahkamah Persekutuan.

“Ini perlu dihujahkan,” katanya.

Awal bulan ini Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi Dhaya Maju-LTAT terhadap kerajaan dan Wee kerana menamatkan kontrak penyelenggaraan landasannya.

Hakim perbicaraan Lim Chong Fong berkata, tiada injunksi boleh dikeluarkan terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana menjalankan tugas mereka seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 29.

Bagaimanapun beliau membenarkan perintah injunksi Erinford untuk mengekalkan status quo kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.