
Naib Presiden Gerakan Pengguna Malaysia Beninder Johl berkata, KKM perlu menjelaskan kekeliruan mengenai kadar harga ujian Covid-19 kerana pengguna memerlukan kepastian yang akan membantu mereka membuat keputusan pembelian yang tepat.
“Mengumumkan harga siling adalah langkah yang baik. Rakyat kemudian akan mengetahui harga sebenar dan dapat mengelak bayaran tambahan tersembunyi. Perlu dijelaskan apakah yang boleh dijangka seseorang ketika menjalani ujian,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, bayaran tambahan tersembunyi mungkin menjadi salah satu punca orang ramai tidak mahu menjalani ujian, iaitu takut dikenakan harga terlalu tinggi.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bulan lalu berkata, harga ujian Covid-19 swasta di Semenanjung dihadkan pada RM150 bagi ujian RT-PCR, RM60 bagi ujian RTK-Antigen dan RM50 bagi ujian RTK-Antibodi, sementara harga siling di Sabah dan Sarawak masing-masing adalah RM200, RM80 dan RM70.
Bagaimanapun Persatuan Hospital Swasta Malaysia berkata, kawalan harga ini hanya meliputi kos makmal, bukannya bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan sampel, kos peralatan pelindung diri (PPE) dan perundingan.
Persatuan itu berkata, hospital swasta akan memutuskan harga muktamad untuk ujian Covid-19, “yang akan merangkumi kos makmal dan kos lain untuk dipilih oleh orang ramai”.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, harga siling ujian Covid-19 harus ditentukan kerajaan, bukan oleh fasiliti kesihatan swasta.
Bagaimanapun peguam, P S Ranjan mempersoalkan kesahihan kawalan harga oleh kerajaan.
Beliau berkata, Ordinan Darurat tidak mengandungi peruntukan yang cukup khusus untuk kawalan harga ujian Covid-19 swasta sementara undang-undang mengenai fasiliti penjagaan kesihatan swasta tidak memperuntukkan kawalan harga di hospital swasta dan bayaran doktor, serta bayaran untuk ujian Covid-19.