Polis buru individu berarak, menari iringi mayat di jalan

Polis buru individu berarak, menari iringi mayat di jalan

Polis membuka kertas siasatan hari ini selepas menerima satu laporan mengenai video tular di TikTok memaparkan sekumpulan lelaki berarak serta menari ketika mengiringi mayat.

Video berdurasi 56 saat menunjukkan sekumpulan lelaki membawa keranda di tengah jalan sambil bermain dram dan mengangkat sepanduk si mati.
PETALING JAYA:
Polis mengesan sekumpulan lelaki dipercayai melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya membuka kertas siasatan hari ini selepas menerima satu laporan mengenai video tular di TikTok memaparkan sekumpulan lelaki berarak serta menari ketika mengiringi mayat.

Video berdurasi 56 saat, disiarkan oleh @ budakpenang7 di platform media sosial itu menunjukkan sekumpulan lelaki membawa keranda di tengah jalan sambil bermain dram dan mengangkat sepanduk si mati.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian (berarak) dipercayai berlaku pada 17 Jun lepas namun videonya baru tular menerusi media sosial hari ini.

“Polis telah mendapat butiran berhubung si mati dan sedang mengesan kumpulan individu iaitu kira-kira 15 hingga 20 lelaki yang berarak dan menari mengiringi mayat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mayat itu adalah lelaki berusia 23 tahun yang meninggal dunia akibat penyakit batuk kering, dibawa dari Teluk Air Tawar, Seberang Perai ke tempat pembakaran mayat di Jalan Siram dengan menaiki kenderaan.

Namun, kira-kira 50m dari tempat pembakaran itu, kumpulan individu terbabit berarak membawa mayat sehingga ke lokasi pembakaran.

Susulan itu, polis meminta kumpulan lelaki terbabit tampil membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Noorzainy berkata, polis turut mengesan pemilik akaun TikTok berkenaan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.