Curi duit tabung anak yatim, 2 lelaki ditahan polis

Curi duit tabung anak yatim, 2 lelaki ditahan polis

Dua lelaki termasuk remaja 16 tahun diberkas polis selepas sembilan jam mencuri duit tabung sumbangan untuk anak yatim.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad, berkata suspek bersama rakannya berusia 29 tahun dicekup antara 2.45 hingga 3 petang di Rumah Awam Air Molek, Melaka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Padah mencuri duit tabung sumbangan untuk anak yatim, dua lelaki termasuk remaja 16 tahun diberkas polis semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad, berkata suspek bersama rakannya berusia 29 tahun dicekup antara 2.45 hingga 3 petang di Rumah Awam Air Molek, Melaka.

Kejadian berlaku di Masjid Al Faizin Kampung Padang, Bukit Lintang Melaka kira-kira 9.55 pagi menerusi laporan dibuat seorang jemaah yang menyedari kejadian selepas menunaikan solat subuh.

Difahamkan, tabung derma anak yatim dimiliki oleh Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat yang diletakkan di ruang pintu masuk masjid dipecahkan.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut menunjukkan dua lelaki masuk ke masjid dalam keadaan memakai topi keledar dan pelitup muka pada 4.32 pagi.

“Berdasarkan maklumat itu, polis membuat tangkapan suspek pertama iaitu seorang remaja berusia 16 tahun pada 2.45 petang di Rumah Awam Air Molek, diikuti tangkapan kedua kira-kira 15 minit kemudian melibatkan lelaki berusia 29 tahun di perumahan sama,” katanya menurut laporan Kosmo.

Beliau berkata, anggaran wang sumbangan dalam tabung dipecahkan suspek adalah RM278.

Susulan penangkapan kedua-dua suspek, Afzanizar berkata pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan kejadian pecah masuk pejabat sekolah dan pecah tabung masjid di kawasan Kandang serta Tiang Dua.

“Dalam tangkapan tersebut polis juga merampas wang tunai kira-kira RM165, alat pemotong besi, topi keledar, pakaian, walkie-talkie.

“Suspek remaja juga mempunyai rekod lampau bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, manakala rakannya membabitkan jenayah pecah premis,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) untuk tujuan saringan ujian air kencing

“Mereka direman selama tiga hari sehingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.