‘Kami tak cemari alam sekitar, tapi bantu nelayan,’ kata pemaju projek mendalam muara Kuala Baru Setiu

‘Kami tak cemari alam sekitar, tapi bantu nelayan,’ kata pemaju projek mendalam muara Kuala Baru Setiu

M&Z Production Industry Sdn Bhd berkata, projek itu mendapat kelulusan wajib di bawah inisiatif kerajaan negeri untuk memulihkan periuk nasi ratusan nelayan.

Pengarah Eksekutif M&Z Production Industry Sdn Bhd Mohamed Farid Surani menunjukkan dokumen rasmi pernyataan tatacara dan kajian hidraulik bagi pelaksanaan projek mendalam dan memindahkan pasir di muara Kuala Baru, Setiu.
SETIU:
Projek mendalam dan memindahkan pasir muara Kuala Baru Setiu di daerah ini bakal memanfaatkan kira-kira 1,000 nelayan dari beberapa kampung yang terjejas pendapatan saban tahun akibat masalah muara cetek.

Syarikat pemaju, M&Z Production Industry Sdn Bhd menafikan kerja-kerja yang dilaksanakannya itu mencemari alam sekitar dan memusnahkan hutan pantai dengan penebangan pokok rhu sewenang-wenangnya.

“Kerja-kerja projek ini berpandukan pernyataan tatacara dan kajian hidraulik. Jadi tiada isu melibatkan kerosakan (alam sekitar) dan menukar ciri-ciri semula jadi kawasan tersebut,” kata pengarah eksekutifnya Mohamed Farid Surani.

Beliau berkata, projek berkenaan hanya dilaksanakan selepas mendapat kelulusan wajib kerajaan negeri.

“Mengenai kebimbangan aktiviti pemusnahan hutan pantai, perlu ditegaskan kami komited melaksanakan segala cadangan dan syarat Pejabat Daerah dan Tanah Setiu untuk kerja-kerja pemulihan hutan pantai,” katanya.

Beliau berkata, walaupun fasa pertama projek melibatkan penebangan sejumlah pokok rhu, ia tidak berakhir di situ.

“Apabila selesai projek ini, kita ratakan balik (timbunan pasir dikorek) dan buat tanaman semula (pokok rhu),” kata Farid ketika ditemui FMT.

Beliau tampil memberi penjelasan susulan dakwaan kumpulan alam sekitar Ecoswed Initiative bahawa aktiviti perlombongan pasir menjejaskan hutan pantai dan mengancam habitat haiwan spesis terancam di muara Kuala Baru Setiu.

Farid berkata, projek itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan namun perlu disegerakan sebelum musim tengkujuh bermula pada hujung tahun.

Sementara itu pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu Omar Ismail menyuarakan sokongan penuh terhadap projek itu demi menjamin mata pencarian nelayan.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu mula menampakkan hasil apabila nelayan tidak lagi perlu menunggu lama untuk air pasang bagi memudahkan mereka keluar ke laut.

“Saya sokong 100% projek ini sebab sekarang sudah ada pasir yang dinaikkan ke darat dan laluan untuk bot itu sudah nampak terbuka, walaupun masih di peringkat awal.”

Katanya, isu muara cetek di kuala itu sekian lama menyukarkan nelayan untuk keluar menangkap ikan atau menjalankan kegiatan berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.