
Pengarah eksekutifnya Noor Azlan Ghazali berkata, ini perlu merangkumi pembaharuan struktur selain menyediakan ekonomi untuk persekitaran baharu yang terhasil akibat pandemik Covid-19.
“Pemulihan mesti seiring dengan pembaharuan. Kita perlu mengelak daripada sekadar memulihkan ekonomi tetapi tetap kembali kepada amalan sebelum ini,” katanya dalam sidang media maya ketika membentangkan kajian bebas oleh sekretariat EAC, hari ini.
Kajian “separa rasmi” bertajuk “Resetting Malaysia: Aligning to the New Economic Landscape” itu menggariskan komitmen dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak tahun lalu, selain membuat pelbagai cadangan untuk diguna pakai kerajaan.
Ia memfokuskan lapan agenda, iaitu ekonomi digital; kemajuan teknologi; perubahan landskap global; menggalakkan tanggungjawab bersama, tadbir urus baik dan kelestarian; menyiapkan tenaga kerja masa depan; memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan menggalakkan pasaran kompetitif; membantu golongan masyarakat yang lemah serta mengarusperdanakan sektor ketiga; dan pemulihan serta pembaharuan korporat
Noor Azlan berharap kajian itu akan memberikan maklumat penting bagi membolehkan kerajaan mendraf pelan pemulihan lebih terperinci kerana langkah sedia ada sekadar menangani kerosakan jangka pendek akibat pandemik.
Antara cadangan dikemukakan adalah memperkukuh koordinasi di antara semua kementerian serta agensi, selain pelantikan “panel penilaian prestasi” merangkumi pakar serta pihak berkepentingan utama untuk menilai pencapaian agensi berkenaan.
Ia turut menggesa pematuhan ketat untuk memperbaiki pengeluaran rancangan induk, pelan tindakan atau peta jalan (roadmap) kerajaan.
Selain itu katanya, pencapaian angka bukan satu-satunya perkara yang perlu disasarkan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Sebaliknya katanya, persekitaran, kelestarian dan kesejahteraan mental rakyat turut perlu dipentingkan.
Susulan itu kajian berkenaan mencadangkan supaya perkhidmatan awam dicaj berdasarkan golongan pendapatan, bukannya “satu harga untuk semua”, selain subsidi “cost-effective” dan program sokongan kebajikan dengan penyasaran secara mikro.
Kajian itu turut mencadangkan agar Putrajaya memperkenalkan geran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengguna pakai teknologi digital serta sokongan digital di setiap daerah bagi memastikan mereka mendapat sokongan berkualiti sepenuhnya.