
Nurul Atikah Hanafi atau lebih dikenali sebagai Eka Ekora dan suami, Mohd Hairie Razali masing-masing berusia 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.
Usahawan itu dan suaminya didakwa bersama menyebabkan kecederaan kepada anak perempuannya berusia 16 tahun tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Pauh, Kelantan pada 4.30 petang, 14 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh, menurut laporan Harian Metro.
Peguam tertuduh, Muhammad Hasif Hassan pula memohon supaya mereka diberi jaminan dengan kadar minimum kerana tertuduh wanita sedang mengandung lima bulan.
“Mereka memberi kerjasama dengan baik apabila menyerah diri kepada polis dan tinggal di Pasir Mas,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diberi jamin sebanyak RM9,000 seorang masing-masing dengan seorang penjamin.
Mereka juga perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Mas dua kali sebulan dan majistret menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan usahawan kosmetik itu didakwa memukul anak perempuannya yang berusia 16 tahun selepas berang berhubung status di aplikasi WhatsApp.
Mangsa dilaporkan dipukul di kepala menggunakan tangan, sebelum ibunya kemudian cuba memukulnya dengan kayu hoki namun dia sempat melarikan diri.