MAINS bantu persekolahan 5 beradik yatim piatu akibat Covid-19

MAINS bantu persekolahan 5 beradik yatim piatu akibat Covid-19

Bapa lima beradik itu meninggal dunia pada 8 Jun lalu, disusuli ibu mereka enam hari kemudian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad menziarahi keluarga itu di rumah mereka di Port Dickson, hari ini.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membantu lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, bantuan persekolahan serta keperluan lain akan disalurkan kepada Muhammad Haidir, 23, Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13, dan Muhammad Khierzamani Rodzi, tujuh, dari Port Dickson.

Beliau yang bersimpati dengan nasib menimpa keluarga itu berkata, bantuan berkenaan juga dapat meringankan beban nenek mereka, Faridah Mohd Shahar, 75, menurut laporan Bernama.

“Kita juga menghulurkan sebahagian bantuan yang diperlukan dan melihat ketabahan mereka, saya yakin ada sinar yang akan membawa kepada kebaikan serta kebahagiaan dalam keluarga mereka,” katanya selepas menziarahi keluarga itu di rumah mereka hari ini.

Pada 8 Jun lepas, lima beradik itu menjadi yatim piatu apabila bapa mereka Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin pada 31 Mei akibat Covid-19.

Kematian bapa itu kemudian disusuli ibu mereka Nazita Idris, 45, enam hari kemudian di Hospital Tuanku Ja’afar juga akibat virus berkenaan.

Sementara itu, Faridah meluahkan rasa terharu dan berterima kasih dengan keprihatinan Zulkifli menziarahi serta memberikan sumbangan kepada cucunya.

“Mak cik terkejut dan tidak sangka dengan kehadiran menteri hari ini, beliau cakna terhadap nasib anak-anak ini. Kami juga ada menerima sumbangan jiran yang simpati kepada cucu saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.