Curi pakaian dalam wanita, simpan di bilik tidur, lelaki ditahan

Curi pakaian dalam wanita, simpan di bilik tidur, lelaki ditahan

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumahnya selepas polis menerima laporan dibuat mangsa.

PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang gemar mencuri pakaian wanita termasuk pakaian dalam dan menyimpan barangan itu di bilik tidurnya ditahan polis, kelmarin.

Dikatakan, suspek berusia 23 tahun kerap mencuri pakaian itu di ampaian rumah mangsa di sebuah kondominium Bandar Sunway.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata lelaki itu ditahan di rumahnya selepas menerima laporan dibuat mangsa.

Katanya, wanita berusia 35 tahun itu menyedari pakaiannya hilang sejak kebelakangan ini dipercayai dicuri.

“Pada hari kejadian 10.30 pagi, dia melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan lif dan mengesyaki lelaki itu terbabit dengan kehilangan pakaian miliknya sebelum ini.

Antara pakaian dalam wanita yang dirampas polis dari rumah mangsa. (Gambar PDRM)

“Dia kemudian memaklumkan kejadian kepada suami sebelum melaporkan kepada pihak pengurusan kondominium.

“Mereka berjumpa suspek dan lelaki itu mengaku mencuri pakaian wanita lalu menunjukkan tempat simpanan pakaian terbabit di dalam bilik tidur rumahnya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Fakhruddin berkata, polis yang menerima laporan mangsa kemudian ke lokasi kejadian pada 12.15 tengah hari dan menahan suspek.

Katanya, polis turut merampas 58 pakaian wanita dan sebatang kayu yang sudah diubahsuai dipercayai digunakan untuk mencuri pakaian berkenaan.

“Suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.