Sediakan kertas putih dwipartisan bagi menjamin masa depan sistem kesihatan, saran MMA

Sediakan kertas putih dwipartisan bagi menjamin masa depan sistem kesihatan, saran MMA

Sokongan dwipartisan sangat penting bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan menjadi lebih cekap dan kuat selepas wabak, kata presidennya.

MMA berkata, sokongan dwipartisan sangat penting bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan menjadi lebih cekap dan kuat selepas wabak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyeru agar kertas putih dwipartisan disediakan sebagai langkah maju dalam sistem penjagaan kesihatan negara untuk melindungi dasar kesihatan daripada terkesan oleh perubahan politik.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, sokongan dwipartisan sangat penting bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan menjadi lebih cekap dan kuat selepas wabak.

Beliau berkata, Covid-19 telah mendedahkan kekurangan dalam setiap sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia, selain menambah bahawa pengajaran bagi Malaysia adalah kekurangan dana yang dibelanjakan untuk sistemnya.

“Tiada sistem penjagaan kesihatan yang bersedia sepenuhnya untuk menghadapi wabak global sebesar ini. Bagaimanapun sistem yang lebih lemah akan menanggung akibat paling teruk,” katanya kepada FMT.

“Apa yang dapat negara pelajari daripada wabak ini adalah betapa pentingnya merangsang sistem penjagaan kesihatan kita yang tidak cukup diberi dana dengan lebih pelaburan dalam infrastruktur dan sumber daya manusia dan untuk sentiasa meningkatkan kualiti penjagaan kita.

“Kertas putih sebagai langkah maju bagi sistem penjagaan kesihatan kita yang merangkumi semua pemegang taruh merentas jurang politik akan memperkuat keutamaan negara dan memastikan dasar yang konsisten walaupun kerajaan semasa bertukar.

Tambahnya, penjagaan kesihatan perlu diutamakan berbanding saingan kepentingan negara kerana wabak menunjukkan bagaimana krisis kesihatan boleh melumpuhkan setiap sektor lain di negara ini.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, perlu ada komitmen yang lebih besar untuk membuat perubahan dalam sistem demi kepentingan generasi akan datang.

Katanya, sudah wujud beberapa semakan, kajian dan kertas putih mengenai sistem kesihatan dalam tempoh tiga dekad lalu, meskipun semuanya tidak sampai ke tahap pelaksanaan.

“Ini disebabkan kurangnya komitmen politik dan sokongan masyarakat,” katanya kepada FMT.

“Keputusan yang sukar perlu dibuat dan kita harus membuatnya walaupun tidak disukai tetapi perlu untuk kepanjangan usia dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan seperti memperkenalkan insurans kesihatan sosial.”

Azrul juga berkata, kerajaan perlu menjauhi pendekatan “kerajaan lebih tahu apa yang terbaik” dan menjadi lebih kolaboratif dengan memanfaatkan bakat terbaik dalam sektor kesihatan awam dan swasta.

“Tampak tidak masuk akal bahawa walaupun Malaysia memiliki kepakaran bertaraf dunia dalam bidang kesihatan awam setanding negara maju seperti Amerika Syarikat, pakar-pakar ini seperti Dr Adeeba Kamarulzaman tidak terlibat dalam respons Covid-19 negara,” katanya.

Adeeba adalah anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), presiden Persatuan AIDS Antarabangsa dan bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya

Menyokong gesaan agar perbelanjaan yang lebih besar diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan beliau berkata, 45 daripada 145 hospital awam di negara ini berusia lebih 100 tahun dan ini menunjukkan perlunya infrastruktur dinaik taraf sesuai dengan zaman.

Tambahnya, peraturan juga harus mencerminkan sistem penjagaan kesihatan yang bersepadu. Sektor kesihatan awam dan swasta tidak boleh dianggap sebagai pesaing.

“Contohnya, walaupun doktor kerajaan juga boleh bekerja atau berfungsi dalam sektor swasta, keadaan yang sebaliknya tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, dalam respons terhadap Covid-19, usaha kerajaan terbantut kerana tidak dapat menggunakan bakat dan kekuatan yang ada dalam sistem penjagaan kesihatan swasta di hospital awam sedangkan ia sangat diperlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.