
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain berkata, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman memberi kebenaran untuk pertuduhan terhadap suspek dibuat di mahkamah.
“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Suspek didakwa memukul isterinya yang hamil sehingga koma di rumah mereka di Larkin, Johor, awal bulan lalu ditahan polis pada 12 Jun selepas diburu hampir sebulan.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa Jahidah Nordin, 43, parah di kepala dan tengkorak, dengan rahang, tulang belakang serta rusuknya retak disyaki dipukul suaminya di rumah mereka pada 4 Mei lalu.
Polis kemudian mengedarkan gambar dan maklumat peribadi suspek bernama Rosmaini Abd Raof, 38, beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar, Kedah serta bekerja sebagai peniaga.
Wanita yang tidak sedarkan diri itu dibenarkan pulang ke rumah keluarganya di Sungai Udang, Melaka pada 30 Mei lalu, selepas dirawat di hospital selama 27 hari.
Usia kandungannya kini memasuki 12 minggu dan dalam keadaan baik tetapi pasukan perubatan memaklumkan mangsa mungkin hilang ingatan dan peluangnya pulih seperti biasa tipis.