
Sejak PICK bermula, sasarannya adalah supaya 80% daripada populasi divaksin sepenuhnya. Penanda aras itu dilihat petunjuk bahawa orang ramai mempunyai sedikit-sebanyak imuniti terhadap virus untuk mengekang penyebarannya.
Bagaimanapun, bercakap pada forum dalam talian bertajuk “The Path to Herd Immunity” anjuran Oxford & Cambridge Society Malaysia, Khairy berkata beliau sendiri kini telah berhenti menggunakan terma itu.
“Pandangan saya sebagai menteri penyelaras adalah, melihat data dan sains yang ada, berkemungkinan ia telah menjadi endemik dan kita akan melihat Covid dalam bentuk kurang mengancam kekal dengan kita untuk tempoh lama.”
Katanya, walaupun segelintir pemimpin politik masih menggunakan terma itu ketika bercakap mengenai vaksinasi, beliau telah menasihatkan Perdana Menteri supaya “lebih berhati-hati menggunakannya”.
Beliau turut berkata, ada perbincangan bagi mengurangkan tempoh antara dua dos vaksin AstraZeneca selama 12 minggu sebagai perlindungan terhadap varian dengan memvaksin lebih ramai orang dengan lebih pantas.
“Kami mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh suntikan kedua AstraZeneca, namun masalah yang timbul kini adalah bekalan.
“Sebahagian bekalan daripada Covax tertangguh, sebahagian dari Thailand tertangguh, jadi kami menghitung semula jadual penghantaran untuk melihat sama ada tempoh untuk dos kedua dapat disingkatkan.”
Berhubung isu vaksin bagi pendatang tanpa dokumen, beliau berkata, perbincangan masih berterusan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mengenai pendekatan mereka kerana kerajaan perlu berhati-hati supaya tidak menakutkan golongan itu sehingga mereka bersembunyi dan menyukarkan usaha vaksinasi.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi PBB bagi masyarakat pelarian di Malaysia, melibatkan kurang dari 200,000 orang di negara ini yang mempunyai kad UNHCR. Kami akan berusaha memastikan mereka juga divaksin.”