Katanya, program itu tidak boleh dijalankan secara menyeluruh kerana kekangan bekalan vaksin Covid-19 yang tiba secara berperingkat di negara ini.
“Kerajaan bukan tak mahu beri vaksinasi secara menyeluruh tapi bekalan vaksin kita kena agihkan ke seluruh negara dan bekalan vaksin datang berperingkat.
“Kita terpaksa agihkan sedangkan kita boleh buat lebih,” katanya ketika melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instruments, hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan Khairy Jamaluddin.
Muhyiddin berkata, buat permulaan program PIKAS di Texas Instrument sebanyak 300 suntikan akan dibuat sehari dan ia akan diteruskan di kawasan perkilangan di tempat lain.
Dalam pada itu perdana menteri berkata, kerajaan akan cuba memberikan perhatian kepada sektor perkilangan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
Katanya, ia bagi mempercepatkan penurunan kes Covid-19 dengan memberikan suntikan vaksin kepada pekerja industri perkilangan.
PIKAS Covid-19 yang bermula hari ini bertujuan membantu mempercepatkan program vaksinasi khususnya kepada golongan pekerja, dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian dikenal pasti.
Sebelum ini Azmin berkata, kerajaan komited memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS dengan disokong oleh sektor swasta dalam mentadbir pengurusan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang membabitkan pengamal perubatan swasta.