Suspek lari dari polis langgar mati warga emas bawah pengaruh dadah

Suspek lari dari polis langgar mati warga emas bawah pengaruh dadah

Siasatan awal mendapati, suspek memperoleh dadah itu daripada rakannya di Bayan Lepas untuk kegunaan sendiri.

PETALING JAYA:
Lelaki yang bertindak agresif melarikan diri dari polis hingga melanggar seorang warga emas sehingga mati di Jalan Perak, Georgetown, pagi tadi mengaku berada bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata siasatan awal mendapati, suspek memperoleh dadah itu daripada rakannya di Bayan Lepas, untuk kegunaan sendiri.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dadah itu turut diagih kepada rakannya yang lain.

“Kita percaya suspek melarikan diri kerana bimbang tindakannya menyimpan dadah diketahui polis.

“Suspek sudah bercerai dengan isterinya dan memiliki seorang anak,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Soffian ditemui ketika meninjau lokasi lelaki berusia 61 tahun yang meninggal dunia akibat dilanggar suspek di Jalan Perak, ketika suspek cuba lari daripada polis.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya sudah mendapatkan rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran bagi melakukan siasatan lebih menyeluruh insiden mangsa dilanggar suspek.

Katanya, berdasarkan siasatan awal terhadap rakaman CCTV itu, mangsa dilanggar Perodua Myvi dipandu suspek ketika sedang melintasi lampu isyarat.

Akibat rempuhan, mangsa melambung sebelum digilis kereta dipandu suspek ketika melarikan diri.

“Kami masih mengesan waris mangsa bagi tujuan tuntutan selepas proses bedah siasat dijalankan esok.

“Suspek akan dipohon reman 9 pagi esok di Mahkamah Majistret Pulau Pinang bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil di Konsulat Indonesia bagi membuat pengesahan mengenai jaket dipakai suspek yang mempunyai logo konsulat itu.

“Suspek mengaku memperoleh pakaian itu dua bulan lalu daripada bapa saudara rakannya yang bekerja di konsulat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.