
Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
“RELA ingin menegaskan bahawa dakwaan ia menggunakan data peribadi seseorang untuk didaftarkan sebagai anggota RELA secara automatik tanpa kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar. Perbuatan ini bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” menurut kenyataan itu.
Agensi itu berkata, pihaknya juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan dengan anggota yang tidak aktif dan mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.
“Bagaimanapun program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) 2012 digantung sementara kerana RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19,” katanya.
Katanya, bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah RELA.
“Kepada individu yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota RELA dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi 03-88703770 dan emel untuk batalkan keanggotaan.
Merujuk kepada Seksyen 7(1) pendaftaran sebagai anggota RELA, Akta 752 menyebut individu warganegara berumur 18 tahun ke atas dan bukan anggota tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota RELA.
Semalam warganet berkongsi rasa terkejut mereka selepas mendapati ‘didaftarkan’ sebagai anggota RELA tanpa pengetahuan mereka.
Majoriti mendapati nama mereka tersenarai sebagai anggota pasukan itu ketika menyemak nombor MyKad di pautan semakan ahli RELA yang tular di media sosial.
Beberapa kakitangan FMT juga mendapati nama mereka disenaraikan sebagai ahli RELA apabila memasukkan butiran di laman itu dan mendapati mereka menjadi anggota RELA sejak 2011.