
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan awal pagi tadi di Balik Pulau.
“Suspek kelima itu ditahan awal pagi tadi dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, kami berjaya menyelesaikan kes pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar MBPP.
“Susulan penahanan semua mereka (lima lelaki), polis turut merampas beberapa barangan dipercayai dilarikan dari rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, lima suspek itu kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.
Semalam, dua beradik antara empat lelaki berusia 25 hingga 37 tahun yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pantai Bersih, Butterworth pada 10.15 pagi Ahad.
Mereka ditahan kira-kira sejam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu dan sebahagian barangan yang dilarikan dari rumah Datuk Bandar MBPP itu dirampas.
Sumber polis dilaporkan berkata, ahli keluarga Yew menyedari rumah mereka dipecah masuk pada 9 pagi selepas mendapati keadaan berselerak dan pemeriksaan lanjut mendapati sebuah Honda CRV, komputer riba serta beg berjenama antara barangan yang hilang.
Semakan CCTV mendapati ada kelibat lelaki memasuki kediaman dua tingkat itu pada 5 pagi.