Sengaja ‘cari pasal’ main sepak takraw ketika PKP, 5 lelaki dikompaun RM10,000

Sengaja ‘cari pasal’ main sepak takraw ketika PKP, 5 lelaki dikompaun RM10,000

Lelaki berusia 18 hingga 42 tahun itu dikompaun RM2,000 setiap seorang.

Lima rakan sekampung ditahan anggota pasukan pemantau dan penguatkuasaan SOP IPD Kemaman yang mengadakan rondaan sebelum dikompaun kerana bermain sepak takraw ketika PKP. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lima lelaki yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan bermain sepak takraw masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 di Kampung Tuan, Chukai, Kemaman, Terengganu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata mereka yang berusia 18 hingga 42 tahun itu dikompaun ketika asyik bermain di gelanggang sepak takraw kampung berkenaan pada 6.15 petang.

Hanyan berkata, lima rakan sekampung itu ditahan anggota pasukan pemantau dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang mengadakan rondaan.

“Mereka dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum kompaun dikeluarkan.

“Kompaun itu dikeluarkan kerana melanggar syarat PKP penuh mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana beriadah di tempat awam,” katanya menurut laporan Kosmo.

Sementara itu, enam lelaki lain yang minum beramai-ramai sambil bersembang di sebuah kedai makan di Jalan Air Putih, Terengganu, pada 6 petang semalam turut dikompaun.

“Mereka yang berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun masing-masing dikenakan kompaun RM1,500,” kata Hanyan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.