
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Afzanizar Ahmad dipetik Bernama berkata, empat anggota geng berkenaan yang didalangi lelaki tempatan berusia 42 tahun dikenali sebagai Bhai ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah itu antara 12.20 pagi hingga 12.50 pagi, 3 Jun lepas.
“Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki berusia 21 hingga 45 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana, manakala ketua geng berkenaan, iaitu Bhai dan teman wanitanya berusia 22 tahun ditahan di sebuah hotel di Batu Berendam.
“Geng Bhai menyasarkan tapak binaan yang ditinggalkan atau tidak beroperasi khususnya dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula sejak Mac tahun lepas, termasuk sebuah rumah contoh di sekitar Tanjung Minyak, Malim dan Tengkera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Menurutnya, bahan binaan, jentera dan peralatan yang dicuri itu kemudian dijual di pasaran terbuka kepada individu yang berminat, selain dipercayai turut dijual kepada kedai barangan lusuh.
Katanya, ketua geng berkenaan mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan 10 kes membabitkan dadah, manakala empat lagi ahli geng berkenaan turut mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Afzanizar berkata, semua suspek merupakan penganggur dan hasil barangan curi berkenaan digunakan untuk menampung belanja harian serta membeli dadah.
Susulan itu, semuanya direman selama 12 hari sejak 3 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk.
Sementara itu katanya, tiga remaja berusia 15 dan 16 tahun ditahan selepas cuba meloloskan diri di sekatan jalan raya (JSR) di Jalan Bukit Baru-Duyong pada Sabtu.
Katanya, dalam kejadian jam 2.30 petang itu, pemandu kenderaan yang juga remaja lelaki berusia 15 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu Mitsubishi Triton bersama dua rakannya berusia 15 dan 16 tahun.
Katanya, mereka membuat pusingan untuk melarikan diri sebaik melihat SJR namun dikejar polis. Ketiga-tiganya akhirnya ditangkap kira-kira 10km dari tempat kejadian.
Menurutnya, tiga remaja itu dikompaun masing-masing RM3,000 kerana keluar tanpa tujuan munasabah dan menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang dalam tempoh PKP.
Katanya, pemilik kenderaan yang juga bapa saudara remaja yang memandu kenderaan itu turut dikompaun di bawah Seksyen 26(1)B Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan seseorang memandu tanpa lesen.