Terlalu banyak halangan bagi atlet mangsa gangguan seksual, kata PKR

Terlalu banyak halangan bagi atlet mangsa gangguan seksual, kata PKR

Kurangnya garis panduan dan struktur organisasi kabur menyukarkan aduan dibuat.

Pengerusi Biro Guaman PKR Fadhlina Siddiq berkata industri sukan tiada pakar berkelayakan untuk menangani kes gangguan seksual seperti yang dihadapi bekas perenang kebangsaan Cindy Ong.
PETALING JAYA:
Industri sukan tidak mempunyai dasar jelas bagi menangani gangguan seksual dalam komuniti sukan, kata aktivis hak asasi.

Pengerusi Biro Guaman PKR, Fadhlina Siddiq berkata, mangsa dalam komuniti sukan berdepan kesukaran untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana tiada garis panduan dan mekanisme jelas mengenai perkara itu.

“Ini termasuk struktur organisasi yang kabur mengenai siapa yang harus membuat aduan. Di samping itu, mangsa perlu melalui proses birokrasi dalam memastikan aduan mereka sampai kepada pihak berkuasa relevan seperti Kementerian Belia dan Sukan.

“Ini meletakkan tekanan terhadap mangsa,” katanya dalam forum undang-undang dianjurkan biro perundangan, sukan dan pemuda PKR.

Tambahnya industri itu tiada pakar yang berkelayakan untuk menangani kes gangguan seksual.

“Sama ada jurulatih mahupun jawatankuasa sukan, mereka perlu dilatih untuk mengendalikan aduan dengan betul. Kita sering mendengar bahawa responden ini seperti kurang empati terhadap mangsa.

“Ini membuatkan mangsa takut untuk tampil mengadu.”

Fadhlina menegaskan bahawa sukan adalah industri yang dikuasai oleh lelaki dan sekitar 90% pihak berkuasa tertinggi dalam organisasi sukan adalah lelaki.

“Terdapat ketakseimbangan jantina dalam persekitaran itu dan ia boleh membawa kepada keganasan berdasarkan jantina.”

Tambahnya lagi, kes gangguan seksual dalam sukan sering disembunyikan atau tidak dilaporkan kerana mangsa takut akan akibatnya, seperti kehilangan tajaan.

“Tidak banyak data atau kes yang dilaporkan dalam komuniti sukan, oleh itu sukar untuk menetapkan langkah pencegahan.

“Menghapuskan gangguan seksual dalam industri ini memang bukan sesuatu yang mudah. ”

Forum berkenaan dianjurkan berikutan pendedahan bekas perenang kebangsaan Cindy Ong baru-baru ini, yang mendakwa pernah diganggu secara seksual ketika bergelar perenang negara.

Bercakap di forum yang sama, Ong berkata beliau merasa lega selepas berkongsi pengalamannya sebagai mangsa gangguan seksual.

Baru-baru ini Ong berkongsi dengan sebuah media tempatan bagaimana dia berdepan gangguan seksual dan serangan selama bertahun-tahun, termasuk daripada seorang jurulatih kebangsaan ketika masih remaja.

Menurut Ong, jurulatih itu masuk ke biliknya dan menyuruhnya tidur sebentar sebelum pertandingan. Dia kemudian duduk di sebelahnya dan menepuknya.

Ong turut mendedahkan bahawa jurulatih itu sekali lagi cuba mengganggunya ketika dia berusia 20-an.

“Saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman saya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan atlet muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.