
Pengerusi Majlis Penduduk Labuan Mohd Dzulfaizal Abd Manan berkata dengan penutupan sementara kebanyakan pasar raya dan pasar raya besar (untuk kerja-kerja sanitasi Covid-19), pengguna tidak mempunyai pilihan selain menyerbu ke kedai runcit berdekatan, sekali gus mengakibatkan peruncit barangan perlu berdepan situasi kekurangan stok.
“Sekatan rentas negeri berterusan yang ketat di Sabah-Labuan-Sabah, yang mewajibkan pembawa barang menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR), sebelum memasuki Labuan, juga menyumbang kepada kekurangan stok barangan keperluan di pulau bebas cukai ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sekatan pergerakan penuh selama 14 hari, mulai 15 hingga 28 Jun depan melibatkan lokaliti di pusat bandar (kecuali Kompleks Taman Kewangan), Kampung Sungai Keling, Simpang Sahari, Kampung Bukit Kalam, perkampungan perairan Kg Patau-Patau 1 dan 2.
Selain itu, ialah Taman Perumahan Mutiara Sg. Bedaun, Kampung Layang-Layangan, Kampung Durian Tunjong dan Kampung Tanjung Aru.
Dazulfaizal berkata antara barang keperluan yang kekurangan stok termasuk beras, minyak masak, telur dan gula.
Justeru, beliau menggesa agar masalah berkenaan diatasi dengan berkesan memandangkan kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa bekalan barangan adalah mencukupi.
“Permintaan untuk barang-barang keperluan meningkat secara drastik bukan hanya disebabkan oleh penutupan banyak pasar raya dan pasar raya besar tetapi disebabkan sekatan pergerakan penuh di lapan kawasan penduduk yang padat, yang mengakibatkan kenaikan harga barang-barang tersebut,” katanya.
Pejabat cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kekurangan bekalan minyak masak akan diatasi secara berperingkat mulai minggu depan.
Menurut kenyataan itu, pemborong minyak masak baru sahaja menerima bekalan dan akan diedarkan kepada peruncit secara berperingkat.
Tinjauan Bernama juga mendapati pengguna menghadapi kesukaran untuk mendapatkan gas memasak, sejak beberapa hari lepas.