
Arun Dorasamy berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak memberi maklum balas kepada keluarga Nhaveen, walaupun terdapat penemuan bahan bukti baharu berkaitan kejadian pukul remaja berusia 18 tahun itu yang membawa kepada kematiannya empat tahun lalu.
“Kami bukan cuba menghalang pendakwa raya mahupun AGC daripada menjalankan tugas, tetapi peguam keluarga ini hanya cuba mengemukakan bahan bukti baharu yang mungkin berguna sewaktu perbicaraan,” katanya ketika dihubungi.
Kata Arun, dua surat telah ditulis kepada AGC pada 31 Mei dan 10 Jun, sementara usaha menghubungi pendakwa raya juga sia-sia.
“Jika AGC enggan berjumpa peguam kami, saya, ibu Nhaveen dan T Previin akan mogok lapar mulai 22 Jun,” katanya.
Previin adalah sahabat karib Nhaveen yang turut dipukul sekumpulan pemuda di taman di Bukit Gelugor dalam kejadian sama.
Arun turut menyeru kerajaan agar mengiktiraf 15 Jun sebagai Hari Antibuli Zulfarhan-Nhaveen untuk mengingati mangsa buli yang meninggal dunia.
Kadet tentera laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, diseksa sampai mati pada 1 Jun 2017, oleh rakan sebayanya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
“Oleh kerana kematian Zulfarhan dan Nhaveen hanya berselang dua minggu, kerajaan patut mengiktiraf (15 Jun) untuk meningkatkan kesedaran mengenai buli dan budaya ‘ragging’.
“Sementara itu, apa sudah jadi dengan undang-undang antibuli yang kerajaan janji hendak gubal?” soalnya.
Perbicaraan kes pembunuhan Nhaveen bersambung pada 29 dan 30 Jun.