5 didakwa bunuh lelaki ditemui terapung di Sungai Kinta

5 didakwa bunuh lelaki ditemui terapung di Sungai Kinta

Mereka didakwa telah menyebabkan kematian A. Preshna, 40, di Jalan Che Puteh, Ipoh, kira-kira pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang, 23 Mei lepas.

lima lelaki dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta, Pasir Puteh pada 26 Mei selepas diculik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh berusia antara 26 hingga 40 tahun itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

S Jeyenthiran, 34, S Simeon, 31, Basharuddin Hammersla, 26, T Selvamani, 40, dan V Thiruganesh, 36, didakwa bersama-sama dua orang yang masih bebas menyebabkan kematian A Preshna, 40, di Jalan Che Puteh, kira-kira pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang, 23 Mei lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Jeyenthiran, Simeon, Basharuddin dan Selvamani turut didakwa menculik Preshna, seorang penganggur di bangunan terbiar Jubilee Park di sini, pada kira-kira pukul 7.30 pagi hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya K Darinee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K Nahtan dan Charan Singh.

Majistret kemudian menetapkan 4 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Individu berkenaan ialah Harjit Singh Terlok Singh atau dikenali sebagai Kishen, 25, yang beralamat di Menglembu di sini dan M Muralitharan atau nama panggilannya Murali, 23, yang beralamat di Tanjung Rambutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.