
Bercakap pada mesyuarat peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai AIDS, beliau menyebut UNAIDS, yang berkata bahawa negara berpendapatan rendah dan sederhana memerlukan sekitar USD29 bilion setahun untuk menangani HIV.
Katanya, peningkatan 50% dalam pelaburan domestik bagi menangani HIV di negara sedemikian sejak 2010 dengan sokongan penaja meningkat 7% adalah sesuatu yang patut dipuji namun lebih banyak lagi diperlukan.
Adeeba, ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kos tindak balas terhadap HIV akan meningkat jika kerajaan terus gagal memenuhi komitmen, pembiayaan dan mengambil tindakan dalam menanganinya.
“Kerajaan tidak mampu memilih-milih (dalam menerapkan) aspek-aspek Strategi AIDS Sedunia dan tidak mampu untuk kurang melabur dari segi kewangan mahupun politik,” tambahnya.
Beliau berkata, peningkatan sumber dan pelaburan dapat disalurkan ke arah pencegahan HIV dan disesuaikan dengan komuniti berlainan. Lebih banyak pelaburan juga boleh dibuat untuk menyokong usaha mengurangkan stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS.
Bidang pelaburan utama lain termasuklah mencari bukti kukuh, penyelidikan yang dipimpin masyarakat untuk membimbing dasar, amalan dan inovasi berkenaan penyakit ini.
Adeeba mencadangkan agar sumber daya ini ditingkatkan dengan menghasilkan program yang berkesan berdasarkan bukti, mencegah jangkitan baharu selain menerapkan dasar bersandarkan hak asasi manusia yang menghapuskan ketidaksamaan struktur yang menjadi punca kesihatan yang buruk.
Adeeba turut menyatakan bahawa ketidaksamaan sosial masih menjadi faktor utama penularan HIV.
“Data terbaru UNAIDS menunjukkan bahawa risiko relatif jangkitan HIV dalam kalangan pekerja seks wanita, golongan gay dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, transgender dan individu yang mengambil dadah secara suntikan adalah tinggi secara tidak seimbang.
“Di penjara dan tempat tertutup lain, kelaziman jangkitan HIV adalah enam kali lebih tinggi berbanding populasi umum,” katanya.
Justeru tambahnya, negara perlu memansuhkan undang-undang dan dasar yang menjenayahkan golongan tertentu dan mendorong ketidaksamaan dalam masyarakat.