Kucing, anjing diseret dan dibakar; NGO terima 4 kes dera haiwan sehari ketika PKP

Kucing, anjing diseret dan dibakar; NGO terima 4 kes dera haiwan sehari ketika PKP

Dibuang, diseret, dilempar, dan dibakar hidup-hidup, itu antara pendedahan kezaliman manusia terhadap haiwan jalanan.

NGO turut menghadapi cabaran mendapatkan bantuan kewangan untuk membantu haiwan jalanan, terutamanya dari segi perubatan dan bekalan makanan.
PETALING JAYA:
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mendapati kes penderaan dan kezaliman terhadap haiwan meningkat secara mendadak sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020 sehingga PKP 3.0.

Presiden SAFM R Kalaivanan berkata, kes membabitkan haiwan jalanan dan peliharaan yang dibuang, diseret, dilempar dan dibakar hidup-hidup.

“Hampir setiap tiga atau empat hari, kami akan terima aduan, tapi sejak PKP ini, ada pelbagai kes kezaliman yang kami terima dan jumlahnya meningkat sehingga kami pernah terima hampir empat kes kezaliman haiwan dalam sehari,” katanya kepada FMT.

Selain kezaliman beliau berkata, pembuangan haiwan peliharaan turut berlaku kerana semakin ramai individu yang tidak mampu menanggung kos penjagaan akibat pendapatan mereka terjejas ketika PKP.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, R Kalaivanan.

“Ramai yang terjejas pendapatan, dari segi mental pun tak kuat, peruntukan perubatan dan makanan haiwan peliharaan mungkin dalam anggaran RM150 sebulan.

“Dalam waktu PKP ini mereka yang hilang pendapatan berasa RM150 itu jumlah yang banyak, jadi mereka memilih untuk membuang haiwan peliharaan daripada terpaksa mengikat perut.”

SAFM menerusi Facebooknya berkata, pembuangan haiwan peliharaan akan memudaratkan komuniti dan orang ramai kerana tindakan itu akan membunuh haiwan secara perlahan-lahan dan terseksa.

“Bayangkan kucing yang sudah terbiasa diberi makan dan tempat tinggal, tiba-tiba ia keseorangan di tempat yang tidak dikenali? Ia mudah dilanggar kereta, mati kelaparan kerana tidak pandai mencari makan sendiri, jatuh sakit dan mati dalam kesedihan dan terseksa! Tidakkah perbuatan sebegini kejam dan pentingkan diri?”

SAFM mencadangkan agar pemilik haiwan peliharaan yang tidak mampu lagi menjaganya supaya meminta bantuan saudara mara, jiran atau rakan, rumah perlindungan haiwan atau menerusi kumpulan media sosial.

Bangkai haiwan yang dijumpai dalam keadaan menyayat hati dengan kesan lecur dan dipukul.

Kalaivanan berkata, SAFM turut menghadapi cabaran mendapatkan bantuan kewangan untuk membantu haiwan jalanan atau terbiar, terutamanya dari segi perubatan dan bekalan makanan.

Katanya, bekalan makanan dan kewangan SAFM terjejas teruk sejak pelaksanaan PKP penuh.

Realitinya beliau berkata, ramai yang menghulurkan bantuan untuk membantu individu memerlukan berbanding haiwan jalanan yang selalunya menjadi pilihan terakhir.

“Manusia, kalau susah mereka boleh mengadu masalah mereka, tetapi kucing, anjing bagaimana mereka nak mengadu, kalau bukan kita sebagai manusia yang mengambil tahu nasib haiwan ini.

“Bercakap soal dana pula, nak dapatkan RM100 sehari pun sebenarnya susah. Kita bukan nak salahkan mana-mana pihak tapi kami tahu waktu PKP ramai yang nak selamatkan perut masing-masing.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.