Polis tahan lelaki disyaki pukul anjing sampai mati

Polis tahan lelaki disyaki pukul anjing sampai mati

Polis berkata lelaki itu ditahan selepas satu laporan polis dibuat pada 19 Sept lalu.

pukul anjing
Rakaman tular memaparkan seekor anjing dipukul pemiliknya dengan batang besi hingga mati dalam satu kejadian di Ipoh.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian seekor anjing dipukul dengan batang besi hingga mati.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki tersebut ditahan selepas menerima satu laporan polis pada 19 Sept lalu berkait kejadian di sebuah rumah di Taman Arkid, Ipoh.

“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah antara ahli keluarga dan Seksyen 29(1) (A) Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana memukul anjing hingga mati.

“Suspek telah ditangkap berkaitan kes itu dan kini dibebaskan dengan jaminan polis hingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa orang awam yang menyaksikan insiden seekor anjing dikatakan dipukul hingga mati oleh seorang lelaki, segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

SAFM berkata, insiden kejam yang tular di media sosial itu dikatakan berlaku di Ipoh, di mana anjing peliharaan itu dipercayai dipukul dengan kejam oleh anak pemiliknya sendiri.

Dalam rakaman tular, kelihatan ibu suspek cuba menghalang perbuatan tersebut, namun dia enggan berhenti daripada terus memukul haiwan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.