
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kerajaan Selangor bersama pembekal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan membekalkan vaksin secara berfasa di negeri ini bermula akhir Jun ini.
“Selain golongan warga emas, pekerja industri perkilangan dan perkhidmatan, kerajaan Selangor juga mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi belum menerima vaksin,” katanya pada sidang media pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya.
Dalam pada itu Amiruddin berkata, jenis vaksin akan dibekalkan adalah salah satu daripada tiga jenis vaksin sedia ada, iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.
“Kerajaan Selangor akan kembali ke Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan untuk membincangkan pelan dan memastikan pelarasan data penerima vaksin bagi mempercepatkan imuniti kelompok di Selangor sejajar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di Selangor kerana pihaknya mempunyai jaringan lebih daripada 1,000 klinik pengamal perubatan am swasta (GP) di bawah program Peduli Sihat.
Katanya, jaringan klinik itu bersedia melaksanakan program vaksinasi sama ada melalui pusat pemberian vaksin (PPV), rumah ke rumah mahupun premis ke premis.
Amirudin berkata, beliau akan segera bertemu kerajaan pusat bagi melaksanakan program vaksinasi itu untuk mempercepatkan inokulasi rakyat sebagai salah satu strategi terpenting mendepani wabak Covid-19.