Tiada lagi rundingan pampasan penduduk Kg Jawa, kata Amirudin

Tiada lagi rundingan pampasan penduduk Kg Jawa, kata Amirudin

Menteri besar Selangor berkata tempoh lanjutan terakhir selama dua minggu bagi penduduk mengosongkan tanah itu juga sudah memadai.

amirudin shari
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata nilai pampasan yang ditentukan oleh pihak penimbang tara adalah saksama dan adil.
PETALING JAYA:
Tiada lagi rundingan mengenai bayaran pampasan kepada 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang dan lanjutan tempoh dua minggu yang diberikan kepada mereka untuk mengosongkan tapak bagi pembinaan jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE), kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Amirudin berkata semua proses telah dilalui sepenuhnya termasuk nilaian pampasan yang dibuat penimbang tara.

“Sudah pergi ke mahkamah, bawa bincang dan sebagainya. Ia (pampasan) bukan ditentukan pihak pemaju sebaliknya penimbang tara yang saya rasa menilai dengan saksama dan adil. Jadi kena terima Hakikat itu.

“Saya berharap semua bertanggungjawab menyelesaikannya dan kerajaan negeri akan bantu sebaik mungkin kerana ini (WCE) menghubungkan dan mempunyai nilai ekonomi yang besar,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Kuala Selangor.

Kata Amirudin, tempoh lanjutan terakhir selama dua minggu bagi penduduk mengosongkan tanah itu sudah memadai.

“Dua minggu sudah cukup sebab saya telah bawa bincang dan mereka minta permintaan terakhir. Dan saya sudah benarkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengkritik tidak jadikan perkara itu satu isu perkauman atau keagamaan, kerana tindakan tersebut hanya beri keuntungan politik jangka pendek tetapi merugikan kepentingan ribuan orang dalam jangka panjang.

Proses pengambilan tanah itu diselesaikan secara sah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 2023, namun beberapa pemilik tanah enggan mengosongkan kawasan tersebut walaupun 75% daripada pampasan berjumlah RM9.85 juta dibayar kepada mereka.

Konsesi lebuh raya WCE Sdn Bhd dibenarkan memasuki tapak itu mulai 10 Nov bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan sebelum pembinaan dimulakan.

Lebuh raya sepanjang 233km itu, yang dijadual siap pada 2027, menghubungkan Banting di Selangor hingga Taiping, Perak, dengan lapan daripada 11 seksyen telah dibuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.