PGA rampas RM8.6 juta syabu, pil kuda

PGA rampas RM8.6 juta syabu, pil kuda

Serbuan dilakukan jam 4.30 petang selepas seorang lelaki tempatan berusia 40-an memasuki sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas.

PGA merampas 41kg dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM8.6 juta. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Batalion ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 41kg dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM8.6 juta hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah di sini, Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kasuahdi Ali berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan PGA8 melakukan intipan selama empat jam di rumah tersebut.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada jam 4.30 petang selepas seorang lelaki tempatan berusia 40-an memasuki rumah itu.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah di bahagian dapur menemui lapan bungkusan plastik hitam dengan empat bungkusan mengandungi 41kg dadah jenis syabu, manakala empat lagi mengandungi 720,000 biji pil kuda.

“Semua dadah ini dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran dah boleh digunakan oleh 554,000 penagih. Kita percaya dadah jenis syabu akan dihantar ke Kuala Lumpur, Selangor dah Johor, manakala pil kuda untuk pasaran di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Hadir sama Komander Briged Tenggara PGA, Hassan Basri Ahmad Safar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir.

Mengulas lanjut, Kasuahdi berkata, suspek yang ditahan dikatakan baharu sahaja dibebaskan dari penjara pada 1 Jun lalu.

Katanya, suspek juga dipercayai mempunyai dua kerakyatan kerana mempunyai rumah di negara jiran dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta Proton Waja di rumah berkenaan dipercayai milik kumpulan penyeludupan dadah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan sama ada dia bertindak sebagai “pengangkut dadah” atau dalang sindiket dadah.

Kasuahdi berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 8 hingga 14 Jun ini untuk siasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Ini adalah kejayaan terbesar dicapai oleh PGA8 pada tahun ini selepas kejayaan pada 22 Feb lalu dengan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta di Rantau Panjang, Pasir Mas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.