Penunggang motosikal maut rempuh kerbau

Penunggang motosikal maut rempuh kerbau

Polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa merempuh seekor kerbau yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas dalam kejadian 7.30 malam itu.

Muhizan Shazry Simon, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh kerbau di Jalan Kionsom, Inanam, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Muhizan Shazry Simon, 25, merempuh seekor kerbau yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas dalam kejadian 7.30 malam itu.

“Sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dalam keadaan parah bersama motosikal ditunggangnya.

“Saksi turut mendakwa melihat seekor kerbau yang cedera di tengah jalan, namun haiwan berkenaan beredar dari lokasi kemalangan selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Likas, Dr Nurul Maslina Nor’ Azizi pada 8.03 malam.

Katanya, mangsa tidak disyaki mabuk, namun sampel darah akan diambil semasa bedah siasat untuk analisis alkohol dan dadah.

“Keadaan tempat kejadian gelap, tanpa lampu jalan dan permukaan jalan sedikit cerun menuruni bukit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.