
Katanya, beliau sendiri menggunakan elaun bulanannya untuk membeli air sebelum dibekalkan kepada penduduk terjejas di sekitar kawasan Sepanggar dan ia adalah bukti bekalan air ada namun tiada usaha dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat.
“Sebagai Ahli Parlimen di kawasan ini, saya telah menghantar air di beberapa taman perumahan dan perkampungan. Saya katakan kepada mereka bahawa air yang saya hantar memang tidak mencukupi kerana realitinya tugas memberi bekalan air ini adalah tugas kerajaan.
“Bagaimanapun, air yang saya beli menggunakan elaun bulanan itu adalah bukti bekalan air ada, tetapi apa yang jelas tiada usaha kerajaan untuk menghantar air-air ini ke kampung-kampung serta taman-perumahan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Azis berkata, amat menyedihkan apabila mendengar ada dalam kalangan penduduk di taman perumahan yang tidak menerima bekalan air selama lebih sebulan.
Katanya, seorang penduduk yang ditemui juga menyatakan ia adalah kejadian terburuk sejak lebih lima tahun menetap di kawasan perumahan terbabit.
“Hari ini merupakan hari kesembilan ‘total lockdown’ dan saya ingin mengambil perhatian kerajaan kesukaran yang dihadapi rakyat khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar ini.
“Saya tidak ingin sentuh soal bantuan bakul makanan, moratorium, ‘one-off’ dan sebagainya yang sehingga ke hari ini, kemungkinan kerajaan GRS masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, apa yang ingin disuarakannya menjurus kepada isu bekalan air bersih di kawasan Parlimen Sepanggar.
Katanya, penduduk menyatakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ada menghantar air, namun ia tidak memadai dengan hanya menggunakan satu atau dua lori tangki dan dilakukan secara berkala.
Azis dalam pada itu turut menyelar perbalahan antara Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Kewangan (MOF) negeri yang lebih menumpukan kepada perebutan kuasa berkaitan pelaksanaan projek berbanding bekerjasama untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sepanggar dan sekitarnya.
“Takkanlah kerajaan minta rakyat menunggu bekalan air sehingga 2023, apa pelan jangka pendek? Ketika zaman (pemerintahan) Warisan dulu, lori-lori tangki dikerahkan untuk menghantar air secara berkala ke taman-taman perumahan serta perkampungan.
“Kenapa zaman GRS mereka seolah-olah tidak boleh berfikir di luar kotak untuk membantu rakyat dalam isu bekalan air ini,” katanya.