
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata program subsidi minyak masak itu bertujuan meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka.
“Mekanisme ini terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan.
“Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1kg dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexander berkata kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama.
Katanya, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.
“Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
“Pada masa ini harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4500 tan metrik berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 tan metrik sahaja, bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.
Alexander berkata KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.
Katanya, kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui.
“Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari.
“Pihak penguat kuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak,” katanya.
Alexander berkata KPDNHEP juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.
Katanya, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.