Buruh mengaku bersalah peras ugut nenek RM2

Buruh mengaku bersalah peras ugut nenek RM2

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang warga emas pada 5 April lalu dengan mendatangkan ketakutan bahawa mangsa akan dicederakan sehingga mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2. (Gambar Reuters)
KOTA BHARU:
Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap wanita berusia 63 tahun, April lalu.

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap warga emas itu dengan mendatangkan ketakutan bahawa mangsa akan dicederakan sehingga mendorongnya menyerahkan wang sebanyak RM2.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, kira-kira 4.35 petang, pada 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat, menurut laporan Berita Harian.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry.

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk tarikh jatuh hukum.

Pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Muhamad Fikrianisfatullah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di hadapan sebuah rumah di Kampung Pulau Gadong, Jalan Kuala Besar, jam 3 petang, pada 17 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Ariyani memohon mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 berikutan tertuduh bekerja sebagai buruh dengan gaji RM50 sehari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.