RO turun, namun keadaan masih belum selamat, kata DG

RO turun, namun keadaan masih belum selamat, kata DG

Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes masih tinggi dan orang ramai masih perlu melaksanakan kawalan kendiri serta mematuhi SOP.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata orang ramai masih perlu melakukan kawalan kendiri dan memutuskan rangkaian penularan.
PETALING JAYA:
Malaysia masih belum ‘selamat sepenuhnya’ dalam perang melawan pandemik ini walaupun kadar kebolehjangkitan kini di bawah 1.0 buat kali pertama sejak 7 April, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata kejatuhan dalam kadar kebolehjangkitan atau RO di bawah paras 1.0 tidak bererti sekatan penuh dapat dilonggarkan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lagi dipatuhi.

“Keadaan masih belum selamat sepenuhnya. RO cuma kadar kebolehjangkitan. Kes masih tinggi. Kita masih perlu melaksanakan kawalan kendiri dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Jika kita semua boleh melakukan ‘self-lockdown,’ kita dapat mengurangkan lagi bilangan kes dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bahawa kes Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan yang menurun menunjukkan keberkesanan perintah sekatan penuh.

Sebanyak 5,271 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikannya hari keempat berturut-turut penurunan kes. Sementara itu, RO jatuh kepada 0.99 berbanding 1.0 sehari sebelumnya.

Wan Saiful mendakwa perkembangan itu menafikan dakwaan bahawa kerajaan tiada perancangan terperinci, sebaliknya keputusan Putrajaya dilihat membawa hasil positif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.