Polis dijangka ambil keterangan MB Kedah petang ini

Polis dijangka ambil keterangan MB Kedah petang ini

Sehingga kini, lima individu sudah diambil keterangan berhubung perkara itu.

Penularan gambar dan video memaparkan individu mirip Muhammad Sanusi Md Nor memandu uji kenderaan di Juru Auto City pada Sabtu lalu ketika perintah kawalan pergerakan penuh sedang dikuatkuasakan.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka diambil keterangan oleh polis petang ini berhubung dakwaan beliau memandu uji kenderaan di Juru Auto City, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, lima individu sudah diambil keterangan berhubung perkara itu sehingga kini.

“Kertas siasatan akan segera dirujuk ke pihak pendakwa raya, selepas semua keterangan diambil dan siasatan lengkap,” katanya dipetik Astro Awani hari ini.

Semalam, Shafee dilaporkan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Kelmarin, kecoh di media sosial susulan penularan gambar dan video memaparkan individu mirip Sanusi memandu uji sebuah kenderaan, sedangkan negara kini di bawah perintah kawalan pergerakan penuh, dengan pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, Setiausaha politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menafikan Sanusi melanggar SOP dan dakwaan itu fitnah semata-mata.

Katanya, kehadiran Sanusi di pusat pameran itu secara kebetulan dan bukannya berniat mahu membeli kereta, sebaliknya hanya datang untuk melihat sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.