Langgar SOP, 43 premis dikompaun, 29 diarah tutup oleh MITI

Langgar SOP, 43 premis dikompaun, 29 diarah tutup oleh MITI

Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi tersebut dilakukan sejak pelaksanaan penuh PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Sebanyak 29 premis diarahkan tutup termasuk kilang-kilang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh itu juga 43 premis dikompaun oleh pasukan petugas khas Covid-19 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebanyak 187 operasi pemeriksaan, 43 kompaun serta 29 notis tutup premis telah dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas Covid-19 MITI hasil daripada pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan SOP di premis kilang di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP.

Ismail turut memaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 41 kompaun bermula 1 Jun 2021 bagi premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan.

“Seramai 2,262 penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara telah digerakkan sejak 1 Jun lalu, untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran,” katanya.

Katanya, kerajaan akan sentiasa meningkatkan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.