
Mohd Zaid Husmin, 34, berkata tiada sesiapa pun mahu meninggalkan anak di rumah dalam keadaan begitu dan tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian yang berlaku.
“Tiada ibu bapa mahu tinggalkan anak di rumah dalam keadaan begitu, malah saya juga mengambil inisiatif mengaktifkan aplikasi Zoom bagi memantau mereka secara langsung.
“Masih terngiang-ngiang suara Nur Rania Adelia mahu makan durian, malah dia kelihatan gembira dan ceria selepas saya bawa pulang buah itu semalam,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Menceritakan kejadian, Zaid berkata, ketika tiba di rumah, keadaan agak gelap kerana asap sudah berkepul-kepul dan dia hanya menemui anak kedua sedang menangis di ruang tamu.
Dalam kejadian itu, Nur Rania Adelia, 6, meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap.
Mohd Zaid berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Tuti Harnida Harun, 34, dan anak bongsunya berusia setahun keluar ke pasar membeli barangan keperluan, manakala Nur Rania bersama anak keduanya, Muhammad Ariq Zakwan, 4, yang sedang tidur ditinggalkan di rumah.
“Berikutan mereka nyenyak tidur, saya ambil keputusan tinggalkan mereka sebentar, tambahan pula pasar tidak jauh dari rumah iaitu kurang lima minit perjalanan.
“Saya turut mengaktifkan aplikasi Zoom bagi memantau secara langsung keadaan anak di rumah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, kira-kira 10 minit ketika berada di pasar, dia terdengar anak keduanya menangis menerusi aplikasi itu, selain melihat kepulan asap memenuhi ruang tamu rumahnya, lalu mereka bergegas pulang.
Katanya, sebaik tiba di rumah, anak keduanya ditemukan di ruang tamu sedang menangis, namun dia tidak dapat mengesan Nur Rania.
“Saya selamatkan Muhammad Ariq Zakwan dulu sebelum masuk semula dalam rumah, tetapi keadaan asap tebal menyebabkan saya sukar mengesan kedudukan Nur Rania.
“Hanya selepas saya membuka tingkap bagi ruang pengudaraan, Nur Rania dilihat terbaring atas tilam di bilik utama dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Mohd Zaid berkata, pasukan bomba tiba sebaik kedua-dua anaknya diselamatkan dan memberi rawatan serta bantuan pernafasan sebelum mangsa dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.05 pagi.
Katanya, tugas menyelamat membabitkan anggota BBP Jalan Perak dan Lebuh Pantai.
Api berjaya dikawal pada 9.36 pagi dengan kemusnahan kebakaran sehingga 70%.