
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berpandangan sedemikian ketika menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat syarikat bukan perkhidmatan penting memperoleh kelulusan untuk beroperasi.
“Kita mendapat berita ada perniagaan bukan perkhidmatan penting mendapat kelulusan beroperasi kerana memfailkan maklumat tidak tepat. Saya sarankan kepada MITI sebelum memproses surat kelulusan tersebut supaya turun padang untuk pantau bagi memastikan sama ada pemohon itu dalam kategori perkhidmatan penting atau tidak.
“Contohnya, peniaga gunting rambut terpaksa akur untuk tutup perniagaan, tetapi pengilang seperti syarikat memproses kayu diberi kelulusan beroperasi. Saya tidak nampak kaitan syarikat itu sebagai perkhidmatan penting,” katanya dalam temu bual program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata, menerusi situasi itu, rakyat boleh menilai ketelusan dan kesaksamaan MITI dalam memberikan kelulusan kepada syarikat perkhidmatan penting untuk beroperasi.
Setakat 7.30 pagi semalam, sebanyak 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja mendapat kelulusan untuk beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0 dengan pematuhan ketat SOP baharu.
Dalam perkembangan sama, Wong menasihatkan syarikat yang mendapat kelulusan beroperasi supaya memanfaatkan peluang itu dengan meluaskan perniagaan mereka ke pasaran eksport.
Beliau berkata, dalam usaha merancakkan ekonomi tempatan, syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak seharusnya hanya menumpukan pasaran domestik.
“PKS yang mendapat kelulusan untuk beroperasi harus memanfaatkan peluang ini sebab ramai lagi yang tidak boleh beroperasi. Buat masa sekarang, sudah banyak PKS gulung tikar, terutama dalam sektor pelancongan dan pengurusan acara.”
Wong berpendapat kebanyakan PKS sudah bersedia untuk tidak beroperasi selama dua minggu sehingga sebulan, namun jika keadaan ini berterusan dan PKP 4.0 mungkin dikuatkuasakan, dijangka lebih 50% PKS terpaksa menutup perniagaan.