
Satu sumber berkata, Ketua Menteri, Hajiji Noor, yang juga menteri kewangan negeri itu, hanya mahu mempunyai pengetahuan lebih baik berhubung projek JKR.
Katanya, Kementerian Kewangan negeri tidak boleh membenarkan sejumlah projek dimulakan tanpa menelitinya terlebih dahulu.
“Ini juga satu cara untuk ketua menteri memberitahu (menteri kerja raya negeri) yang ‘anda boleh buat apa saja anda mahu, tetapi anda perlu merujuk kepada saya terlebih dahulu’,” sumber itu memberitahu FMT.
“Walaupun kementerian berbeza mempunyai projek mereka sendiri, Kementerian Kewangan negeri boleh dipertanggungjawabkan dalam hal seperti wang dan tender.
“Mungkin beliau (Hajiji) mahu mempunyai semak dan imbang. Inilah caranya dalam kerajaan persekutuan – seorang menteri perlu berjumpa menteri kewangan, jika beliau mahu kelulusan segera untuk projek.
“Tetapi menteri itu, dalam kes ini Hajiji, perlu tahu mengenai projek tersebut.
“Saya tidak fikir ketua menteri melakukannya atas niat jahat atau kerana alasan politik. Beliau memerlukan (Menteri Kerja Raya Sabah dan Ketua Umno negeri) Bung Moktar Radin serta Umno.”
Seorang penganalisis berkata, keputusan memindahkan kuasa daripada JKR kepada Kementerian Kewangan negeri mungkin bermotif politik dan mengehadkan pengaruh Umno di Sabah.
Ini menyusul selepas Bung, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, membidas tindakan itu dengan berkata, ia “pelik” kerana Kementerian Kewangan langsung tidak mempunyai jurutera seperti JKR.
Bung berkata, beliau kurang berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kewangan menganugerahkan kerja menaik taraf jalan kepada majlis perbandaran dan daerah.
Satu lagi sumber berkata, Kementerian Kewangan negeri berhati-hati kerana Kementerian Kerja Raya turut dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes yang berlaku sebelum Gabungan Rakyat Sabah menjadi kerajaan negeri.
“Ingat, JKR dalam keadaan tidak teratur ketika pentadbiran terdahulu, jadi ini mungkin langkah untuk memastikan semak dan imbang berjalan.”