Kita perlukan Pelan B sekiranya ‘lockdown’ berterusan, Putrajaya diberitahu

Kita perlukan Pelan B sekiranya ‘lockdown’ berterusan, Putrajaya diberitahu

Ahli ekonomi berkata kerajaan mesti melihat pilihan selain pakej rangsangan.

Pemberian bantuan dan pakej rangsangan sahaja tidak akan mencukupi untuk memastikan negara terus maju sekiranya pandemik Covid-19 berpanjangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi melihat akan keperluan kerajaan untuk mempertimbangkan langkah selain penyediaan pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi bertahan.

Ramon Navaratnam, bekas timbalan setiausaha agung Perbendaharaan, memberitahu FMT, beliau tertanya-tanya berapa banyak lagi pakej rangsangan yang akan diperkenalkan sekiranya pandemik Covid-19 berpanjangan.

Beliau juga berkata pemotongan gaji dan elaun menteri dan penjawat awam, meskipun penting, tidak cukup signifikan. “Lebih banyak mesti dibuat,” tambahnya.

Pemerkasa Tambahan, diumum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, adalah pakej ketujuh sejak pandemik mula melanda negara.

Navaratnam memberi amaran, lanjutan penutupan sektor ekonomi bermaksud lebih banyak bantuan kewangan perlu ditawarkan, yang kemudian akan memaksa kerajaan untuk meminjam lebih banyak atau mencari cara lain untuk meningkatkan pendapatan Persekutuan.

Kata beliau, perkara terbaik yang perlu dilakukan sekarang adalah mempercepat vaksinasi massa sehingga ekonomi dapat dibuka kembali secepat mungkin.

“Semakin cepat Covid-19 dikawal, semakin baik,” katanya. “Jika terlalu lama, kita tidak akan mampu bertahan dalam perang (melawan wabak) ini.”

Ahamed Kameel Mydin Meera bagaimanapun berkata vaksinasi, walaupun akan membantu melawan jangkitan wabak, bukanlah penyelesaian utama kerana virus itu akan sentiasa bermutasi.

Kameel adalah bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, beliau melihat Pemerkasa Tambahan sebagai “wajar mendapat pujian tetapi yang pasti tidak cukup”.

“Kerajaan perlu serius fikir untuk meningkatkan sektor ekonomi dan kewangan negara,” katanya. “Ini kerana tidak betul (sekiranya) sektor ini menempatkan dirinya sebagai sektor bebas risiko sambil diberi kepercayaan untuk menyediakan ekonomi sebenar.”

Beliau juga berkata peningkatan pinjaman hanya akan memburukkan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Untuk membantu perniagaan kembali beroperasi dalam beberapa bulan akan datang, katanya, bank kerajaan perlu memberikan pelepasan hutang, pelepasan cukai dan pembiayaan modal kerja kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.