Imbas kod QR dalam SOP, MKN jawab isu pegawai bank didenda RM1,500

Imbas kod QR dalam SOP, MKN jawab isu pegawai bank didenda RM1,500

Seorang pegawai bank di Pulau Pinang didenda RM1,500 kerana didapati gagal mengimbas kod QR MySejahtera.

Hebahan umum di laman web MKN bertarikh 10 Ogos 2020 menyatakan pemilik premis perniagaan wajib menggunakan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan keluar masuk individu.
PETALING JAYA:
Imbasan kod QR aplikasi MySejahtera diwajibkan bagi semua pekerja termasuk kakitangan bank, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas seorang pegawai bank didenda RM1,500 apabila didapati gagal berbuat demikian.

“Ya memang wajib, semua tidak terkecuali. Imbasan kod QR sudah jelas termaktub dalam SOP MKN (Covid-19),” kata jurucakap agensi itu ketika dihubungi FMT.

Penjelasan itu susulan kejadian seorang pegawai bank dikompaun RM1,500 oleh polis selepas didapati gagal mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera dalam operasi pematuhan SOP tempat kerja di sekitar Georgetown, Pulau Pinang, dua hari lalu.

Pegawai bank berusia 38 tahun itu didapati tidak dapat menunjukkan bukti sudah mengimbas kod QR MySejahtera kepada polis, dan mendakwa tidak mengetahui setiap individu diwajibkan muat turun aplikasi MySejahtera.

Berdasarkan semakan FMT di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), satu hebahan umum bertarikh 10 Ogos 2020 menyatakan pemilik premis perniagaan wajib menggunakan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan keluar masuk individu terutama nama dan nombor telefon.

Namun begitu, penggunaan buku rekod secara manual juga dibenarkan bagi premis di luar bandar atau tidak mempunyai liputan internet.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE), J Solomon menegaskan pegawai terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan yang menyebabkan beliau perlu dikompaun.

“NUBE dimaklumkan pegawai bank di George Town itu telah mendaftar dalam buku daftar yang disediakan oleh pihak bank.

“Bermakna seorang pegawai ada pilihan sama ada boleh menggunakan MySejahtera ataupun buku daftar yang disediakan,” katanya kepada FMT.

Pihaknya memahami tujuan MySejahtera supaya pengesanan kontak dapat dilakukan, namun kakitangan bank berkenaan sudah pun mendaftarkan kehadiran sebagaimana dikehendaki mengikut terma dan syarat pekerjaan.

“Dalam kes ini, pekerja telah memenuhi kehendak majikan di tempat kerja dan seterusnya memenuhi syarat kerajaan untuk mencatat suhu dan ini akan memudahkan pihak berwajib untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Sekiranya pekerja terbabit telah memenuhi syarat asas tersebut dan jika ada pekerja yang tidak mendaftar dengan MySejahtera, pihak berwajib harus bertimbang rasa untuk membimbing mereka agar berdaftar dengan MySejahtera,” katanya.

“Oleh itu, NUBE berpandangan pegawai terbabit tidak melakukan apa-apa kesalahan yang memerlukan kompaun seperti itu,” katanya, dan mendesak agar polis lebih bertimbang rasa dalam memberi kompaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.