Putrajaya digesa belajar daripada kesilapan, pertimbang penahanan

Putrajaya digesa belajar daripada kesilapan, pertimbang penahanan

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Memperbaharui Penjara dan Tempatan Tahanan berkata, fokus perlu diberikan untuk mencari kaedah supaya pusat tahanan tidak sesak.

Pekerja asing tanpa dokumen ditahan di sebuah pusat tahanan susulan serbuan terdahulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sekumpulan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta masyarakat awam menggesa kerajaan belajar daripada kesilapan dan menimbang semula hasrat untuk meningkatkan penahanan pendatang tanpa dokumen.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Memperbaharui Penjara dan Tempatan Tahanan berkata, fokus perlu diberikan untuk mencari kaedah supaya pusat tahanan tidak sesak, yang terbukti menjadi titik penularan ketika pandemik.

Ini menyusul kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin pada hujung minggu lalu, bahawa agensi penguatkuasaan akan menjalankan operasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan penuh sehingga 14 Jun ini untuk menahan pekerja asing tidak berdokumen.

“Tidak dapat diterima sekiranya kerajaan masih menganggap penangkapan beramai-ramai dan pemenjaraan sebagai pilihan berdaya maju untuk mengawal pandemik, khasnya ketika lebih 109 negara menerapkan langkah tidak menyesakkan pusat tahanan dan alternatif untuk penahanan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangannya untuk menahan pendatang tanpa dokumen dan sebaliknya memfokuskan usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

“Kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan langkah alternatif untuk pemenjaraan bagi semua kesalahan PKP dan ‘lockdown’. Tiba masanya untuk berfikir semula secara serius langkah punitif dan menerima kenyataan bahawa Covid-19 memerlukan pendekatan kesihatan.”

Kumpulan itu berkata, satu-satunya cara untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah melalui pengurusan kesihatan awam menyeluruh, termasuk vaksinasi kepada kumpulan rentan dan mereka dalam tahanan.

“Memenjarakan pendatang tanpa dokumen juga akan mewujudkan suasana takut yang akan menghalang kebanyakan golongan rentan divaksin secara sukarela. Tanpa penyertaan mereka, program vaksin kebangsaan untuk mencapai imuniti kelompok sukar dicapai.”

KRPPM terdiri daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said (Umno-Pengerang), Rohani Abdul Karim (GPS- Batang Lupar), Nurul Izzah Anwar daripada pembangkang (PKR- Permatang Pauh), Mohd Azis Jamman (Warisan- Sepanggar) dan Liew Chin Tong (senator DAP), serta Dr Adeeba Kamarulzaman daripada Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS dan peguam Sangeet Kaur Deo.

Dalam kenyataan berasingan, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang berkata, kerajaan menghantar mesej bercampur, dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan pendatang asing, berdokumen atau tidak, tidak akan ditahan jika mereka tampil untuk divaksin.

“Ini adalah masalah kritikal yang perlu diselesaikan segera. Kami meminta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyelesaikan percanggahan dalam dasar yang dibuat Hamzah.

“Perdana menteri harus mengeluarkan kenyataan mengenai apakah sebenarnya dasar kerajaan berhubung vaksinasi untuk pekerja migran tanpa dokumen. Beliau juga harus memastikan adanya perlindungan bagi setiap migran dan pelarian yang sedia tampil divaksinasi.”

Mereka berkata, dengan anggaran tiga juta pendatang tanpa dokumen di negara ini, sukar untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini jika mereka enggan tampil untuk divaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.