
Tertuduh berusia 35 tahun itu yang sah positif Covid-19, malah baru selesai menjalani kuarantin pada hujung Mei lalu, didakwa atas 98 pertuduhan melakukan amang seksual dan dua lagi pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada dua beradik terbabit.
Susulan itu, semua pihak terlibat dengan kes berkenaan juga menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) disebabkan status Covid-19 tertuduh itu, menurut laporan Bernama.
Media yang membuat liputan turut ditempatkan di kamar mahkamah berasingan dengan rakaman prosiding disiar secara langsung, manakala kerja sanitasi dilakukan di sekitar mahkamah selepas proses pendakwaan berakhir.
Tertuduh didakwa melakukan semua tuduhan di beberapa lokasi antaranya pangsapuri di Cameron Highlands, Pahang dan pusat jagaan berkenaan di Ipoh antara 1 Nov 2020 hingga 9 April lepas.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut didakwa bawah Seksyen 15(a) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 3 Sept depan bagi sebutan semula kes itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail tidak menawarkan jaminan, kerana mengambil kira jumlah pertuduhan yang menunjukkan kesalahan berulang bagi kes sama, serta menggambarkan tertuduh mempunyai minat cenderung kepada kanak-kanak atau pedofilia.
Mohd Waffy turut memohon kepada mahkamah supaya satu tarikh sebutan semula ditetapkan dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan tertuduh bebas daripada Covid-19.
Bagaimanapun, peguam Robert S Gnananarajan yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dibenarkan kepada anak guamnya kerana kes tersebut bukan kes yang tidak boleh dijamin.