
Dalam sidang media hari ini, beliau berkata, hanya dua orang, termasuk pemandu dibenarkan dalam sebuah kenderaan, dengan penumpang wajib duduk di bahagian belakang.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk tujuan perubatan dan kecemasan, dengan maksiumum tiga penumpang dibenarkan dalam sebuah kenderaan, termasuk pemandu.
Tujuan perubatan itu termasuk janji temu hospital atau vaksinasi Covid-19, dengan penumpang perlu membawa surat pengesahan doktor dan penerima vaksin perlu menunjukkan janji temu dalam aplikasi MySejahtera.
Katanya, penumpang dan pemandu wajib mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan sepanjang masa, termasuk memakai pelitup muka.
Terdahulu, sebuah kumpulan teksi menggesa Putrajaya memuktamadkan SOP untuk teksi kerana pengumuman oleh Ketua Polis, Acryl Sani Abdullah Sani berbeza dengan Ismail.
Ismail sebelum ini mengumumkan maksimum dua orang dalam teksi atau kenderaan e-panggilan, termasuk pemandu, tetapi Acryl Sani kemudian berkata, tiga orang dibenarkan dalam sebuah kenderaan.
Presiden Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain dilaporkan berkata, terdapat ribuan aduan daripada ahlinya di seluruh negara berhubung kekeliruan itu, dengan anggota polis juga dilihat tidak menyedari SOP mana yang betul.