Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 34 tahun cuba melarikan diri selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) menahan kereta Proton Saga dipandu suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 6.40 petang.
Beliau berkata, suspek kemudian memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar orang awam dan pengguna jalan raya lain.
“Anggota bertindak pantas dengan mengejar kereta tersebut selama kira-kira 20 minit sebelum berjaya menahan suspek di hadapan sebuah bank di Pekan Lama Petaling Jaya.
“Polis terpaksa memecahkan cermin kereta suspek kerana dia enggan keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan.
Fakhrudin berkata, susulan kejadian itu, dua anggota cedera ringan di bahagian tangan kiri dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek menemui satu tiub penyedut minuman disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 0.30g dan ujian air kencing mendapati suspek positif morfin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi dan dadah.
“Suspek direman tiga hari hingga Sabtu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.