
Dalam kenyataan, beliau berkata Jabatan Kesihatan Selangor hanya menerima 615,000 dos vaksin pada 1 Jun, dengan 425,970 suntikan sudah diberikan.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini diberitahu oleh jabatan bahawa jumlah vaksin yang diterima Selangor setakat ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan.
“Tidak timbul isu Selangor menerima 2.9 juta dos vaksin. Agak mustahil juga untuk Selangor mempunyai lebih daripada 2.5 juta dos yang tidak digunakan.
“Selangor mempunyai keupayaan untuk memberikan lebih banyak suntikan sehari berbanding apa yang kita lakukan sekarang.
“Namun, kami tidak dapat memobilisasi pusat-pusat vaksinasi ke tahap maksimum kerana Selangor hanya menerima jumlah vaksin yang terhad.”
Siti Mariah meminta kerajaan lebih telus dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan “dengan memberikan maklumat lebih tepat dan terkini”.
Katanya, pengedaran vaksin dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan, dengan bekalan diperuntukkan kepada jabatan kesihatan negeri masing-masing.
Vaksin kemudian disalurkan ke bahagian farmasi jabatan sebelum diedarkan ke pejabat daerah kesihatan dan pusat vaksinasi.
Siti Mariah berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita kesihatan Code Blue, yang mengatakan bahawa Putrajaya telah memberikan 2.9 juta dos vaksin kepada Selangor tetapi hanya 400,000 suntikan diberikan sehingga 30 Mei.
Memetik data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Code Blue berkata 2.5 juta dos vaksin masih belum diberikan kepada penerima.
Siti Mariah juga sangsi dengan data kementerian yang digunakan dalam laporan itu, di mana angka berkenaan menunjukkan beberapa negeri diberikan lebih banyak vaksin berbanding apa sebenarnya diterima.
“Ini menunjukkan bahawa data yang dikeluarkan tidak tepat dan sangat mengelirukan.”