
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam pemeriksaan pada 11 pagi itu, pihaknya mendapati pengurusan kilang tersebut beroperasi sebagai kilang pembuatan sarung tangan dan pelitup muka, dengan mendapatkan kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, kami menjalankan pemeriksaan dan mendapati pihak kilang berkenaan menipu, dengan mengisytiharkan beroperasi sebagai pembuatan perubatan bagi mendapatkan kebenaran beroperasi, ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula semalam.
“Berdasarkan pemeriksaan surat kebenaran MITI, kilang itu mendapat kebenaran untuk beroperasi kerana menjalankan sektor barangan keperluan peribadi iaitu pakaian perubatan, pelitup muka dan sarung tangan getah, namun sebenarnya menghasilkan topi keledar serta tiada sebarang pembuatan perubatan seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, berikutan itu polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik kilang dan telah diarahkan tutup oleh pihak MITI.
Noorzainy berkata, pemeriksaan juga mendapati, beberapa pekerja di situ kebanyakan warga asing turut tidak mendaftar MySejahtera, dan lima daripadanya dikenakan kompaun.
Katanya, pihaknya memberi amaran kepada majikan, agar mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan termasuk mendapatkan kebenaran daripada MITI, untuk beroperasi ketika pelaksanaan PKP selama 14 hari ini dan jika gagal berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.
“Sejak semalam sebanyak 11 kilang di daerah Seberang Perai Utara telah diperiksa dan saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pelanggaran SOP di kilang atau pejabat, agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan supaya kami boleh mengambil tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang, Nadzrah Yusof, berkata pemeriksaan pihaknya juga mendapati majikan gagal menyediakan tempat tinggal, berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
“Kami membuka kertas siasatan kerana majikan gagal menyediakan penginapan yang mengikut peraturan ditetapkan, dan kami menjalankan siasatan lanjut kerana majikan gagal mengikut Akta 446,” katanya.
Seramai 50 pegawai dan anggota polis bersama penguatkuasa JTK, Kementerian Kesihatan(KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), terlibat dalam operasi Covid 3.0 itu.