Mohd Nazaruddin Yusoff, 50, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini dan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.
Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik sekeping gambar ke Facebook yang menunjukkan seorang anggota polis dilihat terbaring dengan kapsyen “Mati lagi…di Pontian, vaksin kedua” dua bulan lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di Johor pada 11.50 pagi 21 April lalu.
Bagaimanapun, hasil bedah siasatan kemudiannya menunjukkan anggota polis itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ordinan Darurat mendefinisikan “berita palsu” sebagai berita atau maklumat yang “sepenuhnya atau sebahagiannya” salah berkaitan Covid-19 atau perisytiharan darurat.
Individu yang melakukan, menerbit atau menyebarkan berita palsu akan didenda hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.