
Mereka dikompaun RM5,000 seorang kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali berkata, mereka adalah antara 2,376 individu dan 2,010 kenderaan diperiksa pihak berkuasa terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di empat SJR di jalan keluar-masuk utama ke Putrajaya, semalam.
Beliau berkata daripada 2,010 kenderaan diperiksa, 17 diarahkan berpatah balik kerana tiada surat rentas daerah dan sempadan serta surat kebenaran beroperasi dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Kebanyakan kenderaan yang diarahkan berpatah balik adalah daripada mereka yang datang dari kawasan berjiran dengan daerah ini terutama Dengkil, Bangi dan Cyberjaya yang cuba memasuki Putrajaya tanpa surat kebenaran rentas daerah.
“Saya berpandangan bahawa tidak ramai yang melakukan kesalahan cuba rentas negeri dan daerah sekarang kerana orang ramai sudah mula memahami dan menerima dengan hati terbuka mengenai tujuan sebenar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pemasangan besi penghadang jalan di Lebuh Sentosa di Putrajaya sebentar tadi.
Dalam pada itu Mohd Fadzil berkata polis juga akan memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di SJR dengan kerjasama pasukan keselamatan lain untuk melakukan pemeriksaan pejabat kerajaan dan premis perniagaan serta perbankan di Putrajaya bagi memastikan pematuhan SOP serta syarat operasi ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI.
“Kita juga menutup tiga lagi jalan utama keluar masuk ke Putrajaya iaitu di Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra; Lebuh Wadi Ehsan menghala ke Desa Pinggiran Putra (Presint 19) dan persimpangan Jabatan Saujana menghala ke Lebuh Sentosa (Lebuh Raya MEX, Dengkil, Cyberjaya dan Kuala Lumpur) mulai 8 malam ini bagi mengurangkan pergerakan keluar-masuk kenderaan ke Putrajaya.
“Sebelum ini polis dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah menutup tujuh jalan utama keluar masuk ke Putrajaya bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan berikutan pelaksanaan PKP 3.0 mulai 25 Mei lalu,” katanya.
Tujuh jalan ditutup sebelum ini adalah Jalan Presint 5 menghala ke Taman Cabaran dan Dengkil; Jalan Resam menghala ke Puchong; Jalan Presint 11 menghala keluar/masuk ke Cyberjaya; Jalan Presint 14J menghala masuk/keluar ke Sungai Merab, Bangi; Jalan Pintu 1, Presint 14; Jalan P7E, Presint 7, Putrajaya Central keluar ke Putrajaya dan Jalan P5, Presint 5, menghala ke Dengkil.